Oleh Hadzlihady Hassan dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my
KAJANG: Puncanya hanya kerana seekor kucing yang mati sebelum berlaku pertengkaran antara dua lelaki berjiran.
Pertengkaran terbabit bagaimanapun merebak menjadi satu pergaduhan besar hingga seorang daripada jiran berkenaan ditetak dengan parang di Taman Bangi Indah, dekat sini, akhir bulan lalu.
Mangsa yang cedera di kepala dan tangan itu serta bekerja sebagai pengawal peribadi kemudian mengambil pistol dari dalam rumahnya untuk menembak jirannya itu, namun ditenteramkan beberapa jiran yang kebetulan melihat pergaduhan terbabit.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, 29 Oktober lalu, mangsa memarahi anak jirannya itu kerana menuduh anaknya memukul kucingnya hingga mati. Bagaimanapun, anak jirannya itu tidak berpuas hati sebelum mengadu kepada ayahnya.
Menurut sumber, suspek yang tidak berpuas hati dengan tuduhan itu bergegas keluar dari rumahnya dan tanpa usul periksa terus memarahi mangsa menyebabkan berlakunya pertengkaran antara mereka.
“Ketika bertengkar, suspek yang belum berpuas hati masuk ke rumah sebelum keluar semula dengan membawa parang dan menetak kepala serta tangan mangsa.
“Mangsa yang berang dengan tindakan suspek dalam keadaan berlumuran darah mengeluarkan pistol dan cuba menembak lelaki berkenaan untuk mempertahankan dirinya,” katanya.
Menurut sumber terbabit, suspek yang panik melihat pistol itu kemudian lari ke dalam rumahnya menyelamatkan diri, malah dia sempat membuang parang yang digunakan untuk menetak mangsa ke dalam tong sampah berhampiran untuk menghilangkan bukti.
“Mujur kejadian itu dilihat beberapa jiran yang kemudian mententeramkan keadaan daripada menjadi lebih buruk dan tiada tembakan dilepaskan dalam pergaduhan itu.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang menggunakan ambulans yang tiba di tempat kejadian sebaik dimaklumkan penduduk setempat sebelum menghubungi polis,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang berusia 37 tahun itu kini dilaporkan beransur pulih manakala jiran yang menyerangnya itu ditahan polis di rumahnya sebaik menerima laporan penduduk untuk membantu siasatan.
Pemeriksaan polis turut menemui parang milik suspek yang dicampakkan dalam tong sampah di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, selain memaklumkan pihak hospital turut menyerahkan sepucuk pistol dan enam butir peluru hidup milik mangsa kepada polis.
“Difahamkan, mangsa sendiri memaklumkan memiliki senjata api itu ketika dimasukkan ke hospital. Ia kemudian diserahkan kepada polis untuk disimpan.
“Pistol itu akan diserahkan semula kepadanya selepas semakan rekod mendapati beliau pemilik senjata api berdaftar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kejadian itu.
Fia terbaca paper harian metro hari nie, bace pasal berita nie.. Seram yer kalo dapat jiran yang tak paham erti kasih sayang pada haiwan...